Drama Nur 2 telah pun melabuhkan tirainya pada Khamis yang lalu selepas dua minggu bersiaran di slot Samarinda TV3. Menerusi drama itu sebanyak lima lagu baru telah dibuat khas,hasil air tangan Amylea Azizan dan Farouk Abdul Razak selaku komposer dan penulisnya.

Bersyukur Lagu OST Drama Nur 2 Diterima Baik 

Seiring dengan drama tersebut yang mencetuskan fenomena, kelima-lima buah lagu tersebut turut menjadi halwa telinga peminat.

Menurut Amylea, biarpun Nur 2 sudah tamat, namun dia begitu bersyukur kerana lagu-lagu tersebut diterima baik dan mendapat sambutan yang begitu menggalakkan oleh peminat apatah lagi pihak produksi Radius One yang diterajui oleh Shahrulezad Mohameddin.

” Alhamdulillah sejak kita lancarkan lagu-lagu tersebut seperti Tetap Kamu telah mendapat lebih dari 900 ribu tontonan di YouTube kurang dari sebulan dan kita turut mengharapkan dapat mencecah 1 juta tontonan kelak. Lagu-lagu lain seperti Pudar juga diterima sangat positif biarpun baru dua minggu dimuat naik tetapi kini sudah mencapai lebih dari 250 ribu tontonan”

Amylea Digelar Ratu OST 

Dalam perkembangan lain, Amylea ketika ditanya mengenai gelaran ratu runut bunyi (OST) yang diberikan dikalangan peminat berkata, dia sememangnya tidak kisah dengan gelaran tersebut kerana dia sememangnya sudah lama menghasilkan lagu-lagu untuk kebanyakan drama terutamanya Radius One malah menganggap ianya seperti satu penghormatan buat dirinya.

“Saya terima sahaja apa-apa gelaran yang diberikan peminat kerana kalau ikutkan saya memang buat OST untuk Radius One sejak tahun 2007 lagi. Jadi saya pun tak tahu gelaran itu patut ada tidak , tetapi kalau ada yang ‘bagi’, Alhamdulillah, saya bersyukur.”

Amylea ditemui Hangat.com ketika sesi rakaman Melodi Raya yang diadakan di Resort World Genting, Genting Highlands baru-baru ini.

BACA  Tayang Body Sado! PA Aliff Syukri Tak Segan 'Topless' Depan Kamera