Selain dari drama Nur 2 yang mencetuskan fenomenya tersendiri, drama yang berjudul Kamar Kamariah yang ditayangkan di TV3 juga tidak kurang hebatnya kerana jalan cerita nya membuatkan penonton begitu beremosi.

Penonton Beremosi Kerana Kamar Kamariah 

Menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat seperti Dato’ Fizz Fairuz, Nabila Huda, Tasha Shila dan ramai lagi, Kamar Kamariah mengisahkan mengenai seorang bekas GRO yang baru bertaubat setelah berlaku kejadian hitam dalam hidupnya.

Namun perkahwinannya bersama seorang jejaka  ternyata tidak membahagiakan kerana suaminya itu sebenarnya seorang penjenayah yang berselindung disebalik watak seorang yang alim di hadapan keluarganya. Disebabkan jalan cerita drama ini, rata-rata penonton turut beremosi melihat watak-watak yang dimainkan terutama buat Fizz dan juga Nabila.

Nabila Gembira Watak Sampai Kepada Penonton 

Menurut Nabila atau lebih mesra disapa sebagai Abil ketika ditemui Hangat.com di sesi rakaman Melodi Raya baru-baru ini, dia sebenarnya gembira kerana drama ini berjaya meninggalkan kesan di hati penonton-penonton. Bagi Abil, ini merupakan satu penanda aras dimana drama Kamar Kamariah banyak memberikan pengajaran terutama buat golongan wanita dan isteri diluar sana untuk menjadi lebih kuat dan berani menegakkan keadilan.

“Saya memang gembira kerana watak kami dikira sebagai menjadi dikalangan penonton. Daripada situ sebenarnya banyak pengajaran yang boleh diambil. Terus terang saya cakap apabila melihat penonton terlalu beremosi sebenarnya nak tergelak pun ada dan ini bermakna lakonan kami sampai”

Mudah Bergandingan Bersama Fizz 

Jelas Abil lagi, dia akui bukan mudah untuk membawa watak ‘Kamariah’ kerana dia merasakan watak ini terlalu banyak bermain dengan emosi.

Namun begitu, dia bersyukur digandingkan bersama sahabatnya, Fizz yang disifatkan pelakon ini mudah dan seronok untuk mereka saling bekerjasama.

“Bukan mudah untuk membawakan watak ini kerana banyak bermain dengan emosi dalaman, tetapi nasib baik gandingan bersama saya iaitu Fizz Fairuz membuatkan kami lebih mudah untuk berlakon bersama memandangkan kami sudah lama saling mengenali. Tugas kami cukup mudah dan seronok bekerja bersama, apabila pengarah cakap ‘action’ kami akan terus ‘in character’ dan habis je shooting terus kembali seperti biasa kerana enggan terbawa-bawa watak tersebut dirumah”

Tegas Abil, biarpun drama ini sudah masuk ke minggu terakhir tayangannya selama 13 episod namun dia benar-benar mengharapkan penonton belajar sedikit sebanyak dari jalan cerita yang ingin disampaikan apatah lagi buat pasangan suami isteri. Mengenai perkembangan terbaharunya, dia bakal menjalani penggambaran untuk sebuah telemovie Raya di bulan ramadan ini dan turut membintangi sebuah filem yang akan ditayangkan sekitar Ogos hadapan.