Perkhabaran mengenai pengarah dan penerbit terkenal, Michael Ang memeluk agama Islam ternyata mendapat reaksi yang cukup positif. Bukan sahaja peminat malah rakan-rakan artis turut gembira dengan pengumuman yang dibuat Michael tempoh hari.

Dedah Neelofa Pernah Cuba Islamkannya 

Terbaharu, menerusi sebuah program temubual nya, Michael turut menjemput Neelofa sebagai tetamunya. Dalam program itu, Michael mendedahkan bahawa pengacara MeleTOP itu pernah cuba untuk ‘mengislamkannya’. Mengimbas kembali detik tersebut, menurut Michael ketika itu dia dan Neelofa berada di Rom bagi menjayakan penggambaran drama Ti Amo. Pada saat itu, Neelofa pernah meminta Michael bagi membaca surah Al-Fatihah namun ketika itu sebenarnya dia sudah pun bergelar sebagai seorang mualaf.

Neelofa Terharu 

Dalam program itu juga, Michael menceritakan kepada Neelofa bagaimana dia mendapat petunjuk untuk mendalami tentang agama Islam sebelum mengambil keputusan untuk memeluk Islam.

Neelofa dalam masa yang sama turut berasa terharu kerana Michael menganggapnya sebagai seorang kawan baik selain diberi kepercayaan sebagai antara orang terawal menerima berita tersebut. Rata-rata peminat memuji persahabatan kedua-dua orang selebriti ini selain mendoakan agar Michael akan terus istiqamah dan diberikan pendorong dari orang-orang terdekat.