Pelakon dan penyanyi Linda Rafar mengambil tindakan ke atas pengguna Facebook termasuk Dr. Rusyainie Ramlu dan PW Community dengan menghantar 8 pucuk surat tuntutan berasingan kerana menfitnah beliau di laman sosial.

Kenyataan media ini telah dikeluarkan oleh peguambela, NHA Advocates & Solicitors sebentar tadi kepada Hangat.com.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan firma guaman tersebut, Linda Rafar mengambil keputusan ini untuk menegakkan haknya di sisi undang-undang bagi menjernihkan kembali jenama peribadi, imej dan reputasi dirinya yang dikeruhkan melalui tindakan tidak bertanggungjawab dan fitnah yang ditaburkan oleh Dr. Rusyainie Ramli dan tiga lagi pihak melalui penulisan mereka yang diterbitkan di halaman Facebook.

Linda Rafar telah menghantar lima pucuk surat tuntutan berasingan kepada Dr. Rusyainie Ramli menuntut permohonan maaf secara terbuka dan juga pampasan sebanyak RM4 juta kerana telah menulis dan menerbit lima bentuk penulisan (posting) berbaur fitnah dan komen-komen melampau yang tidak terkira banyaknya ke atas beliau di laman media sosial tersebut.

Beliau juga telah menghantar tiga pucuk surat tuntutan yang serupa kepada tiga lagi pengguna Facebook termasuk PW Community, menuntut pampasan sebanyak RM1.5 juta.

Berikutan dari fitnah dan penerbitan tersebut, ianya telah mencalar peribadinya dan merupakan satu bentuk pembunuhan karakter ke atas dirinya. Persepsi negatif oleh masyarakat terhadap Linda Rafar kini bertambah selepas fitnah tersebut walaupun informasi yang telah disebarkan adalah tidak benar.

Ini adalah perkembangan yang membimbangkan kerana orang ramai mempercayai apa yang ditulis dan diterbitkan melalui laman sosial tersebut. Beliau telah dipaparkan sebagai seorang tokoh masyarakat yang mempunyai moral yang buruk, manipulatif, penipu dan seorang selebriti yang mempunyai niat buruk kepada semua jururarawat di negara ini.

“Pihak klien kami sedang meniliti sekiranya tindakan undang-undang perlu diambil kepada pihak yang tidak bertanggungjawab melancarkan kempen fitnah yang berterusan ke atas dirinya yang memburukkan reputasi dan kredebiiti beliau di mata peminat dan masyarakat, jika tiada sebarang maklum-balas terhadap surat-surat tuntutan tersebut selepas tujuh hari, ” kata Nurul Hafidzah Hassan, peguam kepada Linda Rafar yang mengetuai kes tersebut.

Terdahulu, Linda memuat naik keluhan hatinya terhadap layanan seorang jururawat yang didakwanya biadap di sebuah hospital di Shah Alam ketika merawat Allahyarhamah ibunya, Rasimah Abd Rahman.