[REVIEW] Konsert GFriend Mantap & Comel ‘Gilerr’, Siap Lirik Diubah Dalam Bahasa Melayu

319

Walaupun konsert belum membuka tirainya, Stadium Melawati, Shah Alam gamat dengan sorakan lebih 4,300 BUDDY’s atau penonton di 2019 GFRIEND ASIA TOUR [GO GO GFRIEND!] in KUALA LUMPUR . Hadir sebagai ahli media, kami memasuki stadium kira-kira jam 5.30 petang memandangkan konsert akan bermula tepat jam 6 petang.

Konsert dimulakan dengan tayangan sebuah video memperkenalkan setiap anggota kumpulan Gfirend, membariskan enam gadis jelita iaitu Sowon, Yerin, SinB, Yuju, Eunha dan Umji.

Panggung dimulakan dengan persembahan bunga api mengiringi lagu hits mereka ME GUSTAS TU. Tak dapat digambarkan bagaimana bunyi sorakkan peminat Gfriend pada saat ini. Seolah-olah boleh didengari satu Shah Alam sampai ke Klang.

Malam itu, Gfirend menyanyikan 25 buah lagu hits. Sesekali Gfriend sempat bertanya kepada penonton dalam bahasa Melayu, “Seronok tak? Bagus!”.  Sepanjang menonton konsert berkenaan, rata-rata penonton tidak henti-henti menjerit dan menari bersama melihat persembahan dengan aksi ligat mereka.

Selain tampil dengan penuh energetik, langkah tarian yang mereka tunjukkan begitu tersusun dan kemas. Sehinggakan ke akhir konsert, energi mereka seperti tiada habisnya, tetap mantap dan memukau.

Di kala mereka diberi kesempatan untuk berkomunikasi dengan penonton, berkali-kali mereka luahkan rasa sangat teruja  ke Malaysia jumpa peminat.  Pada konsert anjuran Macpiepro itu, beberapa sedutan video lakonan kumpulan berkenaan antara elemen paling menarik. Penonton disajikan dengan rakaman kehidupan realiti kehidupan mereka.

Lirik Ditukar Dalam Bahasa Melayu

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, di mana nyanyian lagu dalam Bahasa Melayu seperti yang dijanjikan oleh mereka semasa sidang media bersama media tempatan sehari sebelum konsert berlangsung. Sebenarnya ia ada dalam lirik lagu Time for The Moon Night. Gfriend mengubah lirik menjadi

“Bam Bam Bam Bame,sampai ke langit,  as time time for the moon night, kita bertemu dalam mimpi”

Peminat Berpuas Hati

Selepas menonton konsert ini, barulah kami tahu, mengapa peminat setia menyokong kumpulan Gfriend sehingga hari ini. Selain telatah mereka yang comel, cara mereka berkomunikasi & menjaga hati peminat betul-betul mengharukan.

Berpuas hati dan sangat berbaloi, itulah yang boleh digambarkan dengan konsert Gfriend semalam. Tahniah buat semua tenaga kerja serta penganjur yang melengkapkan konsert ini menjadi super fantastik. Konsert Gfriend di negara ini menjadi aksi pembukaan mereka pada siri jelajah Asia Tour (Go Go GFriend) 2019 sebelum beralih ke Singapura, bulan depan.