Sejak akhir-akhir ini, kita sering dapat lihat perangai netizen di ruangan komen di Instagram mahupun Facebook yang tak habis-habis menegur artis mengenai cara pemakaian termasuk bertudung. Malah ramai juga yang bersikap acah-acah alim menjatuhkan hukum terhadap selebriti yang tak bertudung seolah-olah ‘Syurga & Neraka’ berada di tangan mereka.

Secara jujur, tabiat netizen memaksa selebriti untuk berubah atau berhijrah dengan memakai tudung adalah sesuatu yang tidak sihat. Yang pasti, mereka tiada hak untuk menentukan kehidupan seseorang lagi-lagi dengan orang yang tidak dikenali. Yang menegur pun belum tentu sempurna, tapi ada hati nak memaksa orang lain untuk berubah.

Kebiasaannya kelompok netizen-netizen ini akan mensasarkan bentuk paksaan sebegini kepada selebriti-selebriti yang popular dan mempunyai nama besar dalam industri hiburan.

Tak pasti apa matlamat sebenar mereka, tapi yang jelas mereka kurang perhatian dari keluarga mahupun rakan-rakan sekeliling. Setelah meninggalkan komen-komen menegur cara pemakaian selebriti, mungkin ia mampu menaikkan graf kebahagiaan mereka.

Rasanya kelompok netizen-netizen dah boleh berhenti tabiat dan ketagih nak komen artis  macam ‘bila nak pakai tudung’, ‘seksinya, tak takut masuk neraka ke’, dan sebagainya. Jangan bimbang! Mereka tahu batas yang perlu dijaga, ada alasan tersendiri mengapa mereka belum memutuskan untuk bertudung.

1Fasha Sandha

Fasha Sandha merupakan salah satu selebriti yang sering mendapat teguran dan kecaman mengenai isu bertudung dari netizen. Tidak ambil pusing akan hal tersebut, pernah sesekali Fasha menjelaskan pengertian berhijrah atau bertudung kepada pengikutnya di Instagram.

Fasha berkata, dia akan bertudung kerana Allah Taala bukannya kerana paksaan untuk memenuhi kemahuan pengikutnya di Instagram.

“Berhijrah bukan hanya sekadar tutup rambut, sebaiknya cara pemakaian pun berhijrah. Saya akan buat kerana Allah Taala bukan di atas paksaan atau trend atau memenuhi kemaguan follower. Saya pasti akan berhijab. Terima Kasih doakan yang baik untuk saya”- katanya.

2Baby Shima

Sejak menyertai program realiti TV, Big Stage tahun lalu, Baby Shima nampaknya semakin aktif menghiburkan peminat di Malaysia dan Indonesia. Penampilan seksi dan lincah di atas pentas kadang-kadang tidak disenangi pengikutnya di Instagram. Tapi itu tidak bermakna Shima tak mahu berubah ataupun berhijrah.

Memetik dari Hits, sememangnya Baby Shima berniat untuk bertudung dan mempunyai sebab sendiri untuk kekal dengan imej sekarang.

“Saya tidak mahu berhijab hanya kerana mahu dipandang manis atau dipuji oleh peminat dan orang sekeliling. Silap besar saya jika mengenakan hijab hanya kerana mahukan pujian atau nampak baik di mata manusia.

“Kalau boleh saya mahu berhijab apabila hati, mental dan fizikal betul-betul bersedia. Bila tarikhnya, saya tidak boleh beri jaminan kerana soal hati bukan boleh ditafsir atau dirancang.

“Bila ia datang ikhlas dari hati, jadi tidak timbul soal buka tudung selepas berhijab,” luahnya.

3Anzalna Nasir

Model dan pelakon Nur Anzalna Md Nasir atau lebih dikenali sebagai Anzalna Nasir juga mempunyai alasan tersendiri mengapa tidak bertudung. Anzalna yang baru saja melahirkan anak buat pertama kalinya berkata dia memang berhasrat untuk bertudung tetapi tidak mahu berubah kerana terpaksa.

“Saya memang ada hasrat nak bertudung, Tapi kalau boleh saya tidak mahu terpaksa untuk berubah, dan kalau boleh jika sudah pakai tudung tidak mahu buka lagi. Insya-Allah masanya akan tiba, namun saya tidak mahu menetapkan sasaran bila untuk berubah,” katanya kepada m Star Online.

4Nora Danish

Pelakon dan kini menjadi Juri ‘Muzikal Lawak Superstar’ juga salah satu selebriti yang sering mendapat pertanyaan dari pengikutnya mengenai bila untuk bertudung. Memetik dari Mstar Online, Nora berkata dia ada menyimpan hasrat untuk terus bertudung namun belum memutuskan hal itu dalam waktu terdekat.

“Saya memang ada berhasrat untuk berhijab kerana sebagai muslim ia sesuatu yang wajib untuk dilakukan tetapi biarlah ia betul-betul ikhlas dari hati dan bukan kerana permintaan pihak lain atau peminat”- katanya

5Uqasha Senrose

Pelakon Uqasha Senrose pernah terpalit dengan kontroversi buka tudung sehingga dikecam teruk oleh netizen. Pada waktu itu, kita dapat lihat dengan jelas komen-komen dari netizen seolah-olah mereka seperti ahli syurga.

Mungkin bagi anda, Tuhan marah. Tapi bagi dia, biarlah Tuhan saja yang menghakiminya. Tak perlulah diri anda menjadi wakil Tuhan untuk menghakimi bagi pihak Tuhan. Bukankah Tuhan itu Maha Adil?

Dalam salah satu kenyataan Uqasha di Harian Metro, dia tidak mahu membuat keputusan drastik yang boleh membuatkan masyarakat terus bercakap perkara buruk tentang dirinya.

“Berhijab ini kalau boleh kita ingin pakai buat selama-lamanya, jadi saya pun dalam proses untuk sucikan hati dan bersedia ke arah itu satu hari nanti.”

“Kita sendiri tahu bertudung itu untuk apa iaitu antara kita dengan Tuhan. Ia bukan untuk dapatkan perhatian orang. Bagi saya, kalau mahu membuat keputusan (kembali bertudung), saya mahu lakukan selepas betul-betul berfikir panjang,” katanya.

Kesimpulannya, martabat seorang wanita tidak seharusnya diukur menggunakan kain yang melitupi tubuhnya. Memakai tudung, atau menutup aurat, itu adalah tuntutan kepercayaan, dan kepercayaan itu tidak seharusnya diteraju menerusi paksaan. Kita harus ingat yang di dunia ini penghuninya berjuta, mustahil jika semuanya berfikiran sama macam kita.