Sebuah kenyataan media yang dikeluarkan oleh NHA Advocates & Solicitors sebentar tadi mengesahkan bahawa mereka telah dilantik secara rasmi oleh Suzyyana binti Sulaiman untuk memfailkan saman terhadap usahawan Nur Sajat Kamaruzzaman atas fitnah yang dibuat oleh usahawan tersebut.

Suzzy, bekas stokis untuk perniagaan korset Nur Sajat, telah memilih firma NHA Advocates & Solicitors untuk mengambil tindakan atas sebab menidakkan haknya sebagai stokis yang sah serta atas dakwaan fitnah bahawa bengkung yang dijualnya adalah
kononnya palsu sedangkan ia adalah bengkung asli yang dibeli secara sah sebagai stokis.

Fitnah dan laporan Nur Sajat tersebut telah menyebabkan pejabat anak guam telah diserbu oleh pegawai KPDNKK yang selanjutnya merampas bengkung milik anak guam, dan seterusnya menyebarkan fitnah dan menyebabkan anak guam mengalami kerugian berterusan dan mengalami kerosakan reputasi.

Menurut Nurul Hafidzah Hassan, wakil peguam daripada NHA Advocates & Solicitors, anak guam ingin menuntut ganti rugi kerana kehilangan reputasi, gangguan emosi dan kerugian perniagaan yang dialami dan juga bagi kenyataan-kenyataan fitnah dan tuduhan-tuduhan yang telah disiarkan oleh usahawan tersebut.

“Kami juga ingin mengesahkan bahawa beberapa anak guam kami yang lain telah tampil dengan tuntutan yang sama terhadap Nur Sajat Aesthetic Sdn Bhd, dengan itu kami sudah bersedia untuk memulakan beberapa tindakan undang-undang terhadap usahawan berusia 34 tahun itu dalam masa terdekat,” kata Nurul Hafidzah Hassan yang juga mewakili selebriti Linda Rafar dalam kes saman fitnah beliau.