Cepat sungguh masa berlalu. Sudah hampir setahun kemenangan Wany Hasrita diraikan dalam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) yang ke-31. Kini kembali semula, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) dengan edisi ke-32 bertemakan ‘Melangkaui Sempadan’ akan disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada hari Ahad, 22 September 2019.

Pra Pelancaran ABPBH ke-32 yang berlangsung semalam di Tamu Hotel & Suites turut diserikan dengan kehadiran Pengasas Alha Alfa Cosmetics, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil atau lebih dikenali sebagai Datuk Alha.

Alha Alfa menjadi Penaja Utama bagi ABPBH ke-32 untuk dua tahun berturut-turut sejak 2018.

Anugerah dengan rekod cemerlang sebagai acara anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan ini telah meninggalkan kita dengan banyak memori manis buat rakyat Malaysia. Sekadar perkongsian dari Hangat.com, jom imbas 5 peristiwa unik yang jarang diketahui orang mengenai ABP.

1Edisi Pertama Tidak Disiarkan di TV

Edisi pertama anugerah ini dikenali sebagai Anugerah Pelakon/Penyanyi Popular 1987 (APPP87). Ketika itu Nescafe Classic menjadi penaja utama dan acara itu langsung di Dewan Bunga Raya, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) namun tidak disiarkan di TV secara langsung.

2Penglibatan Bekas Suami & Bapa Ogy Ahmad Daud

Bapa kepada pelakon tersohor Ogy Ahmad Daud, Seniman Allahyarham Dato’ Ahmad Daud Mohamad Hashim, menjadi pengacara pertama untuk Anugerah ini. Menariknya Ogy diumumkan penerima Anugerah Pelakon/Penyanyi Popular yang pertama.

Namun siapa sangka, selepas itu Ogy mengambil alih tugas bapanya menjadi pengacara anugerah ini sebanyak 7 kali bermula tahun 1996 dan kali terakhir pada tahun 2016.

Bekas suaminya Eman Manan juga pernah menjadi pengacara anugerah ini pada tahun 1993 bergandingan dengan artis lain seperti Erma Fatima, Sabri Yunus, Ali Mamak, Accapan dan Imuda.

3Raja Azura Paling Kerap Mengendalikan ABPBH

Siapa yang tidak kenal dengan Raja Azura atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Engku. Mungkin ramai yang tak tahu, Kak Engku paling kerap menjadi pengacara di anugerah ini.

Sejak tahun 2000, Kak Engku telah diberi tanggungjawab mengendalikan anugerah berprestij ini sebanyak 8 kali iaitu pada tahun 2000, 2002, 2005, 2006, 2007, 2009, 2010, dan terakhir sekali pada 2011.

410 Tahun Berturut-turut Diadakan di Arena Genting Of Star

Bermula dari tahun 2001 hingga 2011, setiap tahun anugerah ini bersiaran secara langsung dari Arena Genting Of Star, Genting Highland. Arena of Stars ialah tempat di mana hampir semua acara muzik di diadakan disini. Penyanyi dan kumpulan yang telah tampil di Arena of Stars termasuk Deep Purple, Boyz II Men, Michael Learns to Rock, Cliff Richard, Lionel Richie, Guang Liang, Jolin Tsai, Olivia Newton-John, SHE, Joey Yung, Stefanie Sun, Vanness Wu, GEM, dan Twins.

54 Bintang Popular Ini Bukan Kelahiran Malaysia

Anugerah bintang paling popular turut dimenangi oleh 4 artis yang bukan dilahirkan di Malaysia. Antaranya seperti Ogy Ahmad Daud, Dato M. Nasir & Datuk Aaron Aziz yang dilahirkan di Singapura. Manakala Sofia Jane, pemenang Anugerah bintang paling popular pada tahun 1993 merupakan pelakon kelahiran London, United Kingdom.

Kemenangan 4 artis ini membuktikan peminat memberikan sokongan terhadap kerjaya mereka di negara ini tanpa mengira dari mana dilahirkan.

Bermula tahun 2017, anugerah berprestij ini bertukar format pengundiannya di mana pembaca mahupun peminat boleh mengundi penggiat seni dan penghibur kegemaran masing-masing yang tercalon melalui atas talian sepenuhnya.

ABPBH ke 32 buat kali pertama memasukkan kategori artis antarabangsa iaitu Artis K-pop Popular dan Artis Indonesia Popular dalam senarai kategori utama.

Turut dianjurkan program santai bersama kelab peminat iaitu #FANtastik dan Showcase ABPBH 32 pada 7 September 2019 di Eco Grandeur, Puncak Alam, Selangor.

Proses undian ABPBH 32 boleh dilakukan melalui laman web www.abpbh.com.my bermula 15 Julai sehingga 14 Ogos. Calon perlu mempunyai produk yang dihasilkan mulai Januari 2018 hingga Disember 2018.