Beberapa hari sebelum ini, penyanyi dan komposer Faizal Tahir telah memberi bayangan mengenai album terbaharunya yang akan muncul tidak lama lagi. Bayangan tersebut yang merupakan grafik single albumnya telah dikongsi Faizal sendiri menerusi laman sosialnya seperti di Instagram dan juga Twitter.

Muncul Dengan Album ‘We Rojak’ 

Sejurus selepas itu, Faizal turut mengumumkan akan muncul dengan sebuah album baharu yang berjudul ‘We Rojak’. Dalam album terbaharunya itu dikatakan terdapat 9 buah single secara keseluruhannya termasuklah single hits Ragaman.

Jelas Faizal menerusi sebuah video pendek yang dimuatnaiknya, antara sebab dia memilih ‘We Rojak’ sebagai tajuk album lagunya adalah kerana ianya melambangkan negara Malaysia yang berbilang kaum dan mempunyai pelbagai variasi budaya dan adat.

Umum Album Yang Terakhir 

Biarpun begitu, agak sesuatu yang mengejutkan yang mana dalam masa yang sama Faizal turut mengumumkan bahawa We Rojak adalah albumnya yang terakhir. Tidak dapat dipastikan bahawa apakah sebab Faizal berbuat demikian namun ternyata ramai peminat termasuk rakan-rakan artis turut terkejut dengan pengumuman itu.

Rata-rata daripada mereka berasa sedih dengan berita tersebut selain menyifatkan masih tidak berpuas hati untuk mendengar karya-karya asli yang sememangnya digemari oleh ramai peminat. Apa pun, kami pasti Faizal punyai alasannya tersendiri dan sama-sama kita nantikan pengumuman seterusnya dari penyanyi hebat ini!