Datuk Rizalman Ibrahim sekali lagi diberikan mandat untuk menghasilkan persalinan Raja Permaisuri Agong serta anakanda-anakanda baginda untuk Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, 30 Julai ini.

Dedah Keperibadian Tunku Azizah

Sebelum, pereka fesyen terkenal negara itu terlebih dahulu telah diberikan kepercayaan untuk menghasilkan persalinan untuk keluarga diraja Pahang bersempena dengan pertabalan Sultan Pahang yang baharu. Teruja  dengan hari bersejarah kelak, Rizalman telah mendedahkan keperibadian Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang bersahabat baik sejak 15 tahun lalu adalah amat istimewa.

Pernah Masak Secara Mengejut Di Rumah Rizalman 

Menurut Rizalman yang turut dikenali sebagai ‘The Royal Tailor’ , sejak dahulu beliau dan Tunku Azizah banyak berkongsi minat yang sama termasuklah bidang masakan. Menyifatkan Raja Permaisuri Agong itu sememangnya ‘Raja Berjiwa Rakyat’ , baginda tidak kekok untuk mengenepikan protokol dalam banyak perkara. Mengimbas kembali kenangan bersama, Rizalman mendedahkan baginda pernah mencemar duli memasak di dapur kediamannya secara tiba-tiba dan terus memasak tanpa sebarang perancangan.

“Ketika Tuanku berangkat masuk ke rumah saya, ketika itu saya katakan kepada baginda bahawa saya teringin memakan masakan itu ini. Secara tiba-tiba, baginda berkata – berikan saya ikan bilis, kicap, rempah dan sebagainya, dan baginda terus mula memasak (tanpa sebarang rancangan lebih awal).

“Ini menunjukkan baginda bukan seorang tukang masak yang dibuat-buat, atau tukang masak yang mengejar glamor dalam menghasilkan buku masakan, tetapi niat dan keikhlasan baginda untuk berkongsi tentang resipi rakyat, yang mana merupakan menjadi santapan raja di istana,”

Mahir Dalam Pelbagai Bidang 

Malah, Rizalman juga seringkali menghantar mesej untuk bertanyakan kepada baginda tentang cara masakan dan resepi sesuatu juadah dan pertanyaan beliau dijawab baginda secara bersahaja. Kongsinya lagi, ‘air tangan’ Tuanku sendiri menjadi kegemarannya sehingga hari ini.

“Baginda bukan hanya pandai memasak juadah seperti nasi campur, tetapi mahir juga dalam bidang ‘baking’. Antara juadah yang saya suka adalah kek buah Tuanku dan kebiasaannya saya akan meminta diletakkan ceri lebih dan Tuanku akan susun ceri itu dalam susunan huruf ‘R’ bersempena nama saya.

“Kemudian kalau lauk-pauk pula saya suka asam nenas yang diletak udang, dan ketika berkunjung di rumah saya, juadah itu yang dimasak Tuanku untuk tetamu tetamu saya,”

Pada 30 Julai ini, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultanah Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bakal ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong yang ke-16.