Artis baharu, Sam Suhaid, 26 mula dikenali peminat apabila lakonannya menerusi Kelip Kelip Di Kota London yang ditayangan sekitar 2017 ‘membuka’ jalan buatnya untuk berkembang dengan lebih jauh lagi di dalam industri hiburan.

Bakal Lancarkan Single Terbaharu 

Malah, baru-baru ini lakonannya di dalam drama yang kini hangat ditayangkan, Semua Salahku turut dipuji peminat memandangkan watak yang dibawa Sam atau nama sebenarnya Muhamad Suhaid Mustakim Bin Yahya benar-benar membawa satu sisi yang lain buatnya.

Meskipun baru bertapak di dalam industri. siapa sangka sehingga ke hari ini dia telah terbabit lebih dari 70 pembabitan di kaca televisyen termasuklah menjadi model bagi beberapa buah iklan komersial. Tidak ‘duduk senang’ dengan pembabitan tersebut, Sam kini mencuba nasib sebagai seorang penyanyi pula apabila anak kelahiran Kluang, Johor ini akan muncul dengan single terbaharunya tidak lama lagi yang berjudul Angau.

Bernaung Di Bawah HypeBeat

Menurut Sam, ketika ditemui Hangat.com baru-baru ini, biarpun telah bergelar pelakon dan masih baru namun baginya nyanyian juga merupakan satu minat yang sudah lama ingin direalisasikannya. Bernaung di bawah label Hypebeat, jelas Sam lagi dia turut mendapat nasihat mengenai teknik nyanyian daripada beberapa orang selebriti terkenal seperti Nazrey Johari dan Kumpulan Hyperact.

“Walaupun saya masih baru dalam bidang lakonan tapi saya tetap mengambil keputusan untuk menghasilkan sebuah single. Antara sebab mengapa saya berbuat demikian kerana saya ingin orang mengenali Sam Suhaid sebagai seorang artis yang verstail, tidak tetap pada satu bakat sahaja”

Mengenai kecaman pula, saya sedia menerima segala pandangan dan kritikan bagi memperbaiki kelemahan yang ada. Dalam masa yang sama, sebelum ini saya ada mendapat nasihat daripada beberapa orang penyanyi seperti Ustaz Nazrey dan idola saya sendiri, kumpulan Hyperact”

Sedia Jawab Dakwaan Video Bogel 

Dalam perkembangan lain, mengambil kira ‘fenomena’ terkini yang melanda industri hiburan yang mana terdapat banyak video-video lucah yang dikaitkan dengan selebriti tanah air terutamanya buat pendatang baharu, Sam berkata dia sedia menjawab segala tuduhan tersebut seandainya pada masa akan datang dirinya juga akan terpalit dengan isu yang sama.

Jelas Sam lagi, dia tidak gentar sekiranya akan ada dakwaan tersebut tersebar kerana baginya dia sememangnya tidak terlibat dengan kegiatan seumpama itu apatah lagi ianya boleh menjejaskan nama baik dan karier nya.

“Saya tahu zaman sekarang ini ada banyak kes melibatkan video lucah artis dan sebagainya. Tapi sekiranya benda itu terjadi pada saya, sememangya saya sudah bersedia dari segi mental terutamanya kerana buat apa nak takut dengan benda yang kita tidak buat. Malah saya juga pernah berpesan kepada keluarga mengenai industri sekarang yang sebarang kemungkinan akan terjadi memandangkan ramai orang makin mengenali seseorang selebriti itu dan tidak mustahil akan ada yang berdengki”

Biarpun begitu, harapan Sam agar dia dapat menaikkan namanya dengan bakat dan bukanlah dengan cara demikian meskipun ada yang beranggapan ‘bad publicity is still publicity’.

Dalam masa yang sama, Sam turut berkata buat masa ini dia ingin menumpukan perhatian kepada promosi single nya itu yang akan diperdengarkan dalam masa terdekat kepada peminat-peminat.