Mula ditayangkan pada 15 Ogos, filem dari Korea ini tular di media sosial dan hangat memperkatakan mengenainya. Malah kami di Hangat.com sendiri turut mendapat cadangan dari pihak GSC Movies untuk menonton filem ini yang dikatakan antara filem terbaik pada tahun ini. Sebagai info, baru-baru ini filem Parasite telah memenangi anugerah The Palme d’Or di Cannes Film Festival sekaligus menjadikan filem ini merupakan filem Korea pertama yang memenangi anugerah tertinggi itu.

Perasaan Ingin Tahu Bermain Di Fikiran

Jika dilihat pada permulaan filem ini barangkali anda tidak akan menjangka apakah yang akan terjadi pada babak seterusnya. Lazimnya filem dari Korea banyak bermain dengan elemen kreatif sehingga tak terjangkau di akal fikiran untuk memikirkannya.

Di saat kami menonton, boleh dikatakan permulaan filem ini mudah difahami namun ketika ianya mula dibawa ke pertengahan filem, perasaan ingin tahu mula meluap-meluap di fikiran penonton. Genre? Mungkin terlalu banyak untuk dinilai, barangkali Parasite terkandung dark comedy, thriller, suspense, cinta dan kekeluargaan segalanya digarap dengan begitu baik.

Plot Twist Yang Buatkan Penonton Mind Blown 

Apa yang kami boleh katakan bersiap sedia dengan elemen ‘plot twist’ filem ini sehingga membuatkan anda kagum dengan sinematografi nya. Secara keseluruhan kami boleh katakan filem ini adalah antara yang terbaik pada tahun 2019 dan pastikan Parasite berada dalam senarai wajib tonton anda. Pesan kami, sebelum menonton lapangkan fikiran dan bersiap sedia dengan elemen kejutan yang menanti!

Sinopsis Filem Parasite

Mengisahkan mengenai sebuah keluarga yang miskin hidup yang mana semua ahli keluarga tidak mempunyai pekerjaan. Keluarga ini terdiri dari seorang ayah bernama Ki-taek (Song Kang-ho), isterinya bernama Chung Sook (Jang Hye-jin), anak lelakinya bernama Ki-woo (Choi Woo-shik) dan anak perempuannya bernama Ki-jung (Park So-dam).

Suatu hari anak lelakinya Ki-woo atau dikenali sebagai Kevin telah mendapat peluang pekerjaan sebagai tenaga pengajar Bahasa Inggeris kepada seorang anak gadis dari Keluarga Park, keluarga yang kaya raya. Kemudian selepas kehadiran Kevin, dia cuba membawa seorang demi seorang ahli keluarga nya dalam rumah serba kaya itu sehinggalah satu kejadian yang tidak diduga berlaku di dalam rumah mewah itu.