Pada konsert pertama Big Stage musim kedua Ahad yang lalu, penyanyi dan pelawak, Mark Adam telah dijemput sebagai salah seorang juri undangan program realiti itu. Namun, ketika sedang memberi komen kepada salah seorang peserta program itu, Chaleeda , Mark sempat bergurau mengenai saiz badan pengacara, Sherry Alhadad sebagai ‘Big’ yang mana mencetuskan kemarahan dikalangan netizen yang menganggap gurauan seumpama itu agak keterlaluan dan bersifat ‘body shaming’.

Netizen Banjiri Posting Mark Adam Dengan Pelbagai Kecaman 

Biarpun begitu, netizen memuji tindakan Alif Satar yang menyelamatkan keadaan dengan merujuk perkataan ‘Big’ yang ditujukan buat Sherry sebenarnya bermaksud pengara itu mempunyai bakat yang besar. Namun, menerusi carian kami di laman Instagram milik Mark, netizen terlebih dahulu membanjiri ruangan komen posting nya dengan pelbagai kecaman selain mahukan penyanyi itu membuat permohonan maaf secara terbuka.

Mark Mohon Maaf 

Seperti yang dipinta, menyusuli selepas itu Mark telah memuatnaik sebuah posting terbaharu yang menyatakan permohonan maaf nya kepada Sherry. Menjelaskan situasi yang sebenar, menurut Mark dia sememangnya tidak berniat untuk memalukan Sherry kerana pada ketika itu dia belum sempat untuk selesaikan ayatnya sehingga menyebabkan salah faham di kalangan netizen.

Sherry Mahu Peminat Maafkan Mark 

Tampil memberi komen, Sherry turut menceritakan hal yang sebenar kepada semua peminat menerusi posting Mark. Jelas pengacara itu, Mark sudah menghubunginya secara peribadi serta memohon maaf kepadanya.

Melihatkan pada kecaman-kecaman yang diterima oleh Mark, dalam masa yang sama Sherry berharap agar semua peminat dan kenalan dapat memaafkan Mark kerana menganggap sebagai manusia biasa pasti tidak akan lari daripada kesilapan.

Malah rakan-rakan artis turut memuji tindakan Mark yang berani memohon maaf dan memberitahu bahawa penyanyi itu sebenarnya mempunyai hati yang baik dan tidak bermaksud demikian.