Sebelum ini, pelakon dan model Nazmi Nordin telah berkongsi kisah disebalik ‘kehilangan’ nya di dalam industri bukanlah kerana merajuk dengan beberapa pihak namun sebaliknya dia sebenarnya telah melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah di The Chinese University of Hong Kong

Kongsi Pengalaman 

Biarpun memperlahankan karier lakonannya buat seketika, namun Nazmi sering kali berkongsi pengalamannya sepanjang berada di Hong Kong buat tatapan peminat menerusi laman media sosialnya. Terbaharu, pelakon drama Papa Ricky ini turut berkongsi mengenai cara dia mengerjakan ibadat solat disana.

Menurut Nazmi, bandar Hong Kong kini sememangnya sangat padat apatah lagi dengan pusat kajiannya disebuah hospital yang dipenuhi dengan plelbagai kelengkapan para pelajar dan juga para pekerja disitu. Namun baginya, bagi melakukan ibadat solat tiada apa yang boleh menjadi alasan memandangkan ianya merupakan satu tuntutan wajib dalam agama.

” No matter wherever we go, or whatever we do, solat kena jaga. Itu pesan parents saya. Dorang cakap tak kisahlah saya nak jadi model atau pelakon sekali pun tapi solat jangan sesekali tinggal”

Solat Di Bawah Tangga 

Justeru itu, dia telah menggunakan ruang yang ada di bawah tangga,salah satu lokasi di situ sebagai tempat untuknya mengerjakan solat. Kongsi Nazmi lagi ketika dihubungi Hangat.com, pada mulanya dia agak kekok dan berasa sedikit susah hati memandangkan sukar untuk mencari ruang untuk solat apatah lagi kawasan yang bersih dan tidak dipenuhi dengan orang.

Namun dia bersyukur kerana menjumpai kawasan ‘tangga’ tersebut dan pihak pengurusan juga tidak mempunyai masalah dia menggunakan ruang itu untuk bersolat.

“Sepanjang dua tahun sehingga ke hari ini, disitulah tempat saya solat. Di bawah tangga itulah saya solat Zohor, Asar dan Maghrib. Selebihnya saya akan solat di asrama”

Jelas pelakon kelahiran Perlis ini, pada setiap hospital lazimnya akan mempunyai bilik pelbagai guna atau bilik solat (chapel room), namun dek kerana bilik tersebut sentiasa berkunci dan perlu mengisi pelbagai dokumen menyebabkan dia nekad untuk mencari alternatif yang lain.

Malah, Nazmi turut bersyukur kerana pensyarahnya juga memahami dengan agama Islam dan memberi kebenaran untuknya mengerjakan solat apatah lagi ketika ingin menunaikan solat Jumaat.

“Mula-mula susah juga untuk mencari kawasan yang bersih. Sebab bagi saya sepanjang disini, lebih baik jauh dah orang tidak nampak. Kalau solat disini, saya pun tak rasa janggal dan lebih tenang”

“Professor saya pula sangat okay. Kalau dulu, setiap kali nak solat saya akan meminta kebenaran. Tapi sekarang dia sendiri dah tahu waktu saya nak solat dan kalau saya ‘hilang seketika’ pun dia faham saya kemana termasuklah pada hari jumaat”

Dalam perkembangan lain, Nazmi bakal menghabiskan pengajiannya dalam bidang Imaging & Interventional Radiology (PhD) pada pertengahan tahun hadapan. Di kesempatan itu, dia memohon agar semua peminat dan kenalan dapat mendoakan kejayaannya sepanjang berada disana.