Penyanyi lagenda terkenal, Datuk Jamal Abdillah, 60 berkongsi rasa teruja nya untuk menimang cahaya mata tidak lama lagi. Jamal yang berkahwin dengan Zai Izzati, 25, pada 1 April 2017 bakal menimang seorang cahaya mata perempuan yang dijangka akan lahir pada 5 November ini.

Jamal Pilih Azura Yamani

Bukan itu sahaja, menurut Jamal dia juga sudah memilih nama untuk anak perempuannya biarpun belum dilahirkan. Memiilih nama Azura Yamani, jelas Jamal nama itu dipilih kerana merasakan begitu dekat di hatinya sejak dahulu lagi apatah lagi turut mempunyai single popular berjudul Azura yang menjadi runut bunyi kepada filem Azura (1984)

“Alhamdulillah, kandungan sudah masuk lapan bulan lebih dan isteri saya dijangka akan melahirkan anak perempuan kami pada 5 November ini. Nama anak pun sudah dipilih, saya namakan Azura Yamani kerana nama itu begitu dekat dan sudah lekat dengan saya sejak dahulu lagi. Ke mana sekali pun, orang pasti akan kaitkan saya dengan Azura”

Gementar Dengan Kelahiran Bakal Anak 

Kongsi Jamal lagi, dia akui berasa agak sedikit gementar dengan kelahiran anaknya kali ini. Bukan sahaja sudah lama tidak menimang anak, malah kelahiran bayi perempuan juga baginya agak berbeza berbanding dengan kelahiran dua anak lelakinya sebelum ini.

“Saya awal lagi-lagi dah cakap dengan isteri tak dapat nak masuk sekali dalam bilik bersalin. Bukan apa, saya ini penakut sikit, tak boleh tengok darah dan sebagainya. Pegang perut isteri pun kadang-kadang terasa perasaan takut terutamanya bila bayi menendang” – kongsi Jamal sambil berseloroh

Jamal ditemui Hangat.com di majlis pelancaran single terbaharunya bersama Wany Hasrita, Belenggu Rindu bertempat di restoran Suka Sucre pada Rabu. Sebagai info, video muzik single ini sudah mencecah lebih dari 1 juta tontonan dalam masa 5 hari dimuatnaik di laman YouTube.

Jamal sebelum ini pernah berkahwin sebanyak tiga kali bersama Basariah Abdul Latiff, Noraina Mohd Yusof dan Fatimatuzahrah Samad namun kesemuanya berakhir dengan perceraian. Hasil perkahwinan terdahulu, Jamal dikurniakan dua orang anak lelaki, Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 12.