Baru sahaja tampil dengan single hits Terlalu Memuja, penyanyi remaja terkenal Wany Hasrita sekali lagi muncul dengan single duet baharu berjudul Belenggu Rindu, nyanyian bersama penyanyi lagenda terkenal Datuk Jamal Abdillah.

Teruja Dapat Berduet Bersama Jamal Abdillah 

Lebih menggembirakan buat kedua-dua penyanyi ini, baru sahaja dimuatnaik di laman YouTube dalam masa 5 Hari, video muzik lagu ciptaan Ezra Kong dan Hael Husaini itu kini mencecah lebih dari 1 juta tontonan dan turut trending.

Menurut Wany, dia begitu gembira dengan pencapaian lagu tersebut kerana beranggapan peminat menerima baik Belenggu Rindu apatah lagi dapat berduet bersama penyanyi pujaannya. Jelas Wany, selama ini dia memendam hasrat untuk berduet bersama Jamal kerana sejak dahulu lagi dia begitu menggemari lagu-lagu penyanyi lagenda itu dan sering menyanyikannya di beberapa buah acara.

“Sebelum ini, saya pernah simpan beberapa hasrat. Selepas teringin menyanyikan lagu irama Malaysia hasil ciptaan Allahyarham Pak Ngah, saya teringin nak berduet dengan Datuk Jamal. Dulu semasa masih belajar, saya sering menyanyikan lagu beliau tak sangka pula hasrat saya direalisasikan oleh pihak FMC Music”

Bukan Kerana Trademark 

Ketika ditanya mengenai pemilihan tajuk lagu, Bintang Paling Popular ABPBH31 ini menolak tafsiran peminat bahawa dia berpegang pada ‘trademark rindu’. Sebelum ini, Wany mempunyai beberapa single yang turut mempunyai tajuk rindu antaranya adalah Rindu Dalam Benci, Disana Cinta Disini Rindu, Rintihan Rindu, Menahan Rindu dan terbaru, Belenggu Rindu.

“Saya cuba move on tapi hasil perbincangan bersama pihak FMC, kita hormati keputusan tersebut. Lagipun patah perkataan rindu itu memang ada dalam lirik lagu”

Wany ditemui Hangat.com ketika di majlis pelancaran single terbaharunya bersama Jamal Abdillah,bertempat di restoran Suka Sucre pada Rabu.