Filem aksi drama Hustlers begitu dinanti-nantikan oleh peminat di seluruh dunia. Manakan tidak, filem itu sendiri telah dibarisi oleh selebriti Hollywood ternama seperti Jennifer Lopez, Cardi B, Constance Wu, Usher, Lili Reinhart dan ramai lagi.

Tayangan Filem Hustlers Ditarik 

Hustlers dijadualkan tayangannya serentak seluruh dunia bermula semalam, 19 September 2019 namun begitu peminat di Malaysia mungkin terpaksa melupakan hasrat untuk menonton filem tersebut.

Ini kerana, kami difahamkan bahawa filem itu telah ‘ditarik’ jadual tayangannya oleh Lembaga Penapis Filem Malaysia. Lebih mengecewakan pengumuman tersebut hanya diumumkan pada saat akhir dan kami di Hangat.com turut menerima pengumuman mengenai penarikan filem Hustlers dari pawagam yang terlibat.

Banyak Adegan Lucah?

Mungkin ramai yang tertanya apakah punca mengapa filem ini tidak lepas ditayangkan di Malaysia. Hustlers yang diarahkan sendiri oleh Jennifer Lopez menceritakan mengenai Destiny yang bekerja sebagai penari erotik. Kehidupannya mula berubah setelah berkawan dengan Ramona yang merupakan penari yang mendapat upah yang paling tinggi di kelab itu.Menerusi persahabatan mereka, Ramona telah menunjukkan Destiny cara mendapat pendapatan yang tinggi.

Barangkali kerana jalan cerita nya yang menceritakan mengenai kehidupan penari erotik yang kita sedia maklum agak terlalu seksi atau banyak babak lucah membuatkan ianya tidak lepas untuk ditayangkan. Apa pun, masih ada lagi filem-filem hebat lain yang turut ditayangkan pada minggu ini dan salah satunya adalah Rambo Last Blood!