‘Ibarat Menconteng Arang di Muka Sendiri’, begitu yang boleh digambarkan kepada sebilangan peminat fanatik kumpulan dari Korea, BTS yang digelar sebagai ARMY terhadap hos terkenal, Alif Satar.

ARMY adalah nama gelaran peminat tegar BTS yang sanggup bersusah payah dan menyokong kumpulan ini. BTS ARMY memang dikenali sebagai salah sebuah kumpulan peminat yang agak ekstrem dan lantang bersuara.

Kecaman dan tuduhan ini terhadap Alif bermula selepas lagu popular dari BTS berjudul Boy With Luv telah berkumandang di pentas Big Stage 2019” semifinal semalam.

Lagu tersebut telah dinyanyikan oleh Han Byul, salah satu peserta dari Korea yang layak untuk mara ke peringkat final pada minggu hadapan. Selesai persembahan, Alif memuji Han Byul kerana berjaya membawa lagu tersebut dengan baik sekali secara solo yang sepatutnya lagu ini dinyanyikan  oleh 8 orang penyanyi.

Tanpa berfikir panjang, rata-rata ARMY melemparkan kecaman terhadap Alif di laman twitter dengan mendakwa Alif melakukan kesilapan besar kerana salah menyebut bilangan anggota kumpulan BTS iaitu sepatutnya seramai 7 orang.

Mungkin terlalu taksub dengan kumpulan Kpop kesayangan mereka, ada sebilangan ARMY yang tidak sedar bahawa lagu ini dinyanyikan oleh 8 orang termasuk kolabrasi bersama Halsey, penyanyi dari Amerika Syarikat. Jadi apa yang disebut oleh Alif tidak silap sama sekali!

Nasi dah jadi bubur, sebilangan ‘Army’ yang mengecam tak pasal-pasal dapat malu ekoran dari hal ini!

Alif turut memberi reaksi terhadap isu ini dengan memuatnaik sebuah gambar di instagram peribadinya.

5 Orang Mara Ke Peringkat Akhir

Pentas Big Stage 2019” minggu semifinal telah berlangsung dengan penuh debaran, menyaksikan 7 bintang “BBNU” menyampaikan persembahan yang ditugaskan dengan penghayatan masing-masing.

Bertemakan ‘Road To Final’, bintang yang berasal dari Korea Selatan, Han Byul, tidak dapat mengekalkan di kedudukan pertama selepas di rampas oleh Neeta. Persembahan cemerlang Neeta beliau menerusi lagu “Potret”, nyanyian asal Akim & Majistret juga lagu duet bersama Hael Husaini mendapat pujian dari ketiga-tiga juri.

Namun di akhir konsert, Fieya Julia dan Kucaimars telah diumumkan tersingkir untuk minggu ketujuh. Hanya lima peserta iaitu Han Byul, Neeta, Adzrin, Irfan Haris dan Dinda Permata yang bakal mara ke Konsert Akhir Big Stage 2019 minggu hadapan.