Selebriti baru yang semakin meningkat naik, Harris Annuar mula dikenali ramai menerusi penyertaanya di dalam program realiti Hero Remaja 2017/18 yang mana ketika itu Harris memenangi tempat ketiga.

Tidak Letak Populariti Sebagai Keutamaan 

Biarpun hampir dua tahun dalam industri hiburan, bagi Harris atau nama sebenarnya Mohammad Harris bin Shahrul Annuar populariti bukanlah satu keutamaan buatnya. Akui namanya tidaklah begitu popular seperti rakan seangkatannya, namun menurut Harris dia hanya ikut perjalanan yang telah diaturkan dan cuba untuk mempelbagaikan kemahiran dan aktiviti seni pada masa akan datang.

” Biarpun nama saya lambat sedikit untuk naik, tapi saya just ikut flow. Sebab itulah saya selalu buat content di Instagram kerana tidak mahu nama terus tenggelam.

saya masih ingat lagi pada tahun 2017, ada seseorang pernah berkata pada saya ‘mamat ini masuk je Hero Remaja setahun nanti pasti tenggelam’ Tapi saya bangkit..saya cuba untuk buktikan yang saya pun layak dalam berada dalam industri ini..Alhamdulillah”

Ingin Fokus Pada Lakonan

Biarpun dikenali sebagai artis baharu yang verstail, anak kepada pengasas kosmetik terkenal Zaiton Hassan atau lebih dikenali sebagai Kak Ton ini meletakkan hasrat ingin memfokuskan bidang lakonan kerana ingin mengukuhkan lagi namanya sebagai seorang pelakon. Sebagai info, telemovie terbaru lakonannya, Hijab Rejab akan ditayangkan di Astro Citra pada November ini.

 “saya ada mempunyai perancangan untuk menceburi bidang perniagan seperti ibu saya tetapi mungkin belum bersedia sepenuhnya.Tetapi kalau dah kata rezeki disitu, Insyallah saya akan teruskan.

Berlakon sudah, mengacara sudah dan modelling pun sudah. Tapi apa pun sekarang, apa yang saya ingin fokuskan adalah bidang lakonan”

Nafi Seorang Yang ‘High-Demand’

Sementara itu, Harris menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa dia merupakan seorang individu yang sering kali memperagakan barangan mewah yang dimilikinya. Jelas pelakon yang berusia 26 tahun ini, dia sebenarnya seorang individu yang gemar bergaya ringkas dan akui sudah lama berdikari atas nama dan usaha sendiri biarpun berada dalam keluarga yang mempelopori bidang perniagaan.

“Saya ini pakai Myvi je. Memang dengar cliche tapi kereta itulah yang saya pakai dari SPM. Dulu memang ibu ada bagi duit belanja dan sebagainya. Tetap bila sudah menginjak umur 20-an, segala-galanya saya akan buat sediri, cari duit sendiri dan sebagainya. Kalau siapa yang kenal saya, saya seorang yang sangat simple. Kadang-kadang kalau jumpa dekat mall pun, saya lebih gemar pakai selipar dan t-shirt biasa. Kalau pakaian paling mahal pun, mungkin setakat dari jenama Zara'”kata Harris sambil berseloroh

Harris ditemui Hangat.com ketika di ‘post-party’ Anugerah Bintang Popular Berita Harian 32 (ABPBH32) baru-baru ini di Putrajaya International Convention Centre (PICC)>