Ramai yang tertanya kemanakah bekas penyampai radio, Liza Khairudin menghilang. Selepas lima tahun bertugas di konti radio, Liza atau nama sebenarnya Khairu Norliza Khairudin, 33 dilihat turut muncul seketika di beberapa program di platform digital dan juga televisyen.

Kontrak Kerja Ditamatkan Lebih Awal 

Terdahulu, Liza mengejutkan ramai pihak apatah lagi pendengar setianya dengan mengumumkan kontrak kerja  bersama sebuah stesen radio ditamatkan awal serta merta ketika itu.

Bagi mendapat butiran lanjut mengenai perkembangan terkini perjalanan seninya, Liza ketika dihubungi Hangat.com berkata kontrak dia bersama stesen radio berkenaan sepatutnya berakhir pada Mac yang lalu namun ditamatkan lebih awal atas sebab yang tidak munasabah.

Buat Tuntutan Kepada Bekas Majikan 

Ekoran itu, Liza telah membuat satu tuntutan terhadap bekas majikan bagi menegakkan haknya sebelum ini sebagai seorang pekerja di syarikat berkenaan. Antara tuntutan tersebut adalah mengembalikan semula jawatan asal kepadanya dan sekiranya tidak dapat dipenuhi mahkamah akan menentukan perkara yang sebaliknya.

Jelas Liza, tuntutan ini dibuat bukanlah bagi meraih simpati mahupun mengharapkan wang ringgit semata-mata sebaliknya ianya sebagai satu rujukan dan pengajaran buat penyampai-penyampai radio yang lain khususnya penyampai radio yang baru.

Tambahnya, dia tidak menolak mungkin dia merupakan penyampai radio yang pertama di Malaysia berbuat sedemikian kerana ingin menegakkan haknya sebagai seorang pekerja sebelum ini.

Malah, Liza akui pada mulanya dia agak teragak-agak untuk meneruskan tuntutan ini namun selepas berbincang dan memikirkan kawan-kawan yang mempunyai nasib yang sama sepertinya, Liza menyifatkan tuntutan ini adalah demi kawan-kawan sejawatnya juga.

“Hak penyampai radio ditindas dengan cara begini bukan perkara pertama berlaku. Tapi saya akui mungkin saya penyampai radio yang pertama mengambil tindakan seumpama ini di Malaysia.

Ketika keputusan ini dibuat, sebenarnya saya teragak-agak untuk teruskan, namun selepas memikirkan kawan-kawan yang mempunyai nasib yang sama sebelum ini, perjuangan ini adalah untuk mereka juga.”

Menyifatkan kes ini seperti buli di tempat kerja, Liza berasa kecewa kerana khidmatnya sebelum ini seperti tidak dihargai apatah lagi dibalas dengan sedemikian seolah-olah hak sebagai pekerja diabaikan.

“Selama lima tahun saya tidak berjumpa dengan dunia luar, betul-betul berkhidmat disana kerana ingin menjadi yang terbaik dan sama-sama membantu menaikkan nama syarikat. Tetapi apabila dibuang seperti itu, siapa sahaja yang tidak kecewa, Jadi saya teruskan tuntutan ini sebagai tauladan kepada yang lain”

Dalam perkembangan lain, biarpun tidak lagi berada dimana-mana stesen radio, Liza masih aktif sebagai pengacara sambilan selain memfokuskan syarikat perniagaannya yang mengeluarkan produk minuman berasaskan kesihatan. Sebelum bergelar penyampai radio, Liza mula dikenali selepas bergelar juara menerusi program Projek Metro anjuran bersama Harian Metro dan TV3 pada 2013