Acara

Pesta Larian Bermandikan Sinaran Neon Kembali Lagi

Sekali lagi, larian santai neon, “ILLUMI Fest Run” Malaysia dibawa oleh syarikat insurans MPI Generali akan diadakan pada 2 Mac 2019 di Selangor Turf Club.

Pendaftaran super early bird telah pun bermula dan akan berakhir pada 26 November 2018. Maka, untuk mereka yang masih belum merasai sendiri keseronokkan berlari dan berjalan di sepanjang laluan empat kilometer sambil disiram dengan “ILLUMI Glow Water neon” (air sinaran neon ILLUMI) dengan setiap kilometer menampilkan tema berbeza, jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada pesta larian ini!

Lebih dikenali sebagai “party on the run” (berlari sambil berpesta), acara yang berasal-usul dari Singapura ini akan menyaksikan para pesertanya berlari dan menari pada sebelah malam sebelum ia diakhiri dengan perhimpunan di garisan penamat untuk bersuka ria beramai-ramai dalam satu pesta mengasyikkan yang bersinar terang dalam gelap dan penuh warna-warni di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Untuk merancakkan lagi edisi kedua Malaysia nanti, para pelari akan berkesempatan melibatkan diri dalam beberapa aktiviti sampingan di Perkampungan Perlumbaan seperti papan gelongsor gergasi ILLUMI serba baharu yang mana peserta merasai keseronokkan menggelongsor ke dalam kolam air berwarna berketinggian 3 meter.

Lain-lain tarikan termasuk Taman Permainan Neon yang juga terbuka kepada orang awam menampilkan beberapa permainan popular seperti jengket (Hop Scotch), Jenga dan Tic-tac-toe, cuma istimewanya kali ini kerana ia akan dimainkan dalam keadaan bersinar dalam gelap.

“ILLUMI Glo Swing”, iaitu buaian khas yang dipasang dengan lampu LED, juga didirikan dengan keupayaan untuk bertukar warna ketika ianya berhayun. Jangan ketinggalan juga untuk merakam gambar kenang-kenangan di Pondok Foto “ILLUMI Slow-Mo Splash” yang pastinya menjanjikan pengalaman bergambar yang unik lagi menghiburkan berbanding pondok foto tradisional yang sering dilawati sebelum ini. Tunggu apa lagi, kalau anda berminta cepat-cepat daftar di illumirun.com