Bisnis, Tech

Buat Pertama Kali Di Asia Tenggara, Anda Boleh Beli Rumah Di Lazada

Pemaju hartanah terkemuka, Mah Sing Group Berhad, dan platform eDagang Lazada Malaysia, telah berganding bahu untuk membawa kemudahan pembelian rumah dalam talian buat pertama kalinya di Asia Tenggara.

Para pembeli rumah Mah Sing yang membeli rumah mereka menerusi Lazada akan menerima Insentif ekslusif dari Lazada sebanyak 5%, bernilai antara RM20,000-RM30,000; satu-satunya insentif dalam talian terbesar yang pernah ditawarkan di platform Lazada.

Projek-projek Mah Sing yang akan disenaraikan di Lazada untuk 12.12 termasuklah M Vertica, Cheras; M Centura, Sentul; Sensa Residence@Southville City, KL South; M Aruna, Rawang; M Vista, Pulau Pinang; dan Meridin East, Johor. Mereka yang berminat boleh melihat kesemua hartanah ini mulai 28 November 2018.

Unit yang terpilih boleh diletakkan ke dalam troli dan dibeli mulai 10 hingga 12 Disember 2018.

Bakal pembeli juga digalakkan untuk menghubungi bank mereka untuk memeriksa kelayakan pinjaman sebelum membuat tempahan unit menerusi Mah Sing Flagship Store di LazMall semasa kempen berlangsung.

Bayaran tempahan akan dikembalikan sepenuhnya jika pembeli membuat keputusan untuk tidak meneruskan pembelian mereka. Selepas pemilihan unit, dokumentasi dan permohonan pinjaman dimuktamadkan, pembeli boleh menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) dan menjadi pemilik rumah baru.