Berita, Inovasi, Tech

ANGKASA-X Ke Angkasa Dengan Satelit Leo Yang Direka Di Malaysia Untuk Kegunaan Asia Tenggara

ANGKASA-X, syarikat global rangkuman teknologi-sosial Malaysia yang pernah memenangi pelbagai anugerah, telah berjaya melancarkan satelit A-SEANSAT-PG1 (“PG1”) buatan tempatan yang pertama, seterusnya memacu pembangunan ekosistem teknologi angkasa lepas di Malaysia dan Asia Tenggara.

Pelancaran tersebut telah disiarkan secara langsung di empat lokasi di Malaysia; Universiti Sains Malaysia (USM) di Georgetown, Pulau Pinang; Ibu Pejabat Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan pejabat GreenPro Capital di Kuala Lumpur; dan Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC) di Kuching, Sarawak – disiarkan dari Vostochny Cosmodrome – disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di USM; dan Ketua Pengarah MYSA, Gs. Tuan Haji Azlikamil Napiah di MYSA.

Pasukan pelancaran satelit sulung ANGKASA-X ini diketuai oleh Dr. William Lim, Pengarah Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Operasi; dan Ir. Norhizam Bin Hamzah, Ketua Pegawai Teknologi Kumpulan, bersama pasukan kejuruteraan ANGKASA-X.

Dengan pelancaran satelit PG1, ANGKASA-X akan memanfaatkan pengetahuan teknologinya untuk menerajui perkhidmatan ‘Satellite-as-a-Service’ (SaaS) yang inovatif, untuk membentuk gugusan satelit Low-Earth-Orbit (“LEO”) di sepanjang garisan khatulistiwa, yang direka di Malaysia oleh jurutera Malaysia.

Gugusan satelit LEO tersebut akan berhubung dalam mencapai inisiatif berwawasan syarikat dengan menyediakan perkhidmatan pengesan jarak jauh mampu milik dan merevolusikan perkhidmatan kesalinghubungan internet kepada jutaan pengguna di rantau ini, khususnya di kawasan luar bandar di Asia, seterusnya merapatkan jurang digital.

Satelit-satelit ini akan menghantar data yang sangat diperlukan oleh kerajaan, agensi keselamatan dan sektor swasta dalam bidang ramalan cuaca, pengesanan pesawat, pemantauan & keselamatan maritim dan pengimejan masa nyata di lokasi yang terdedah kepada potensi bencana seperti tanah runtuh, penebangan hutan dan lain-lain.

Imej-imej daripada satelit akan memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko dan membantu usaha bantuan bencana untuk menyelamatkan jutaan nyawa dan juga menyediakan ciri geografi khusus yang akan membantu perancang bandar untuk membuat keputusan termaklum bagi pembangunan yang berkesan dan menyeluruh.

Pelancaran PG1 adalah sejajar dengan objektif Rancangan Malaysia Ke-12 dengan menyumbang kepada pembangunan negara dan proses memajukan bakat masa depan. Kemajuan ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan menarik pekerjaan bergaji tinggi, khususnya dalam industri angkasa, sekali gus menyemai pembangunan bakat di Malaysia.

ANGKASA-X bercita-cita untuk menjadi Unicorn Teknologi Angkasa yang pertama di Asia Tenggara dengan objektif utamanya, mempercepatkan pembangunan Ekonomi Angkasa ASEAN dan membantu pembangunan negara-negara di sepanjang garisan khatulistiwa yang memerlukan perkhidmatan satelit untuk mengawal keselamatan negara dan menyediakan kesalinghubungan internet satelit kepada penduduk luar bandar.

Maklumat lanjut tentang ANGKASA-X dan satelit PG1 boleh didapati di www.angkasa-x.com.